LATAR BELAKANG

 Mengikut fakta sejarah, PAS telah ditubuhkan secara rasmi pada 23 Ogos 1951. Walau bagaimanapun, terdapat fakta lain yang menyebut bahawa PAS ditubuhkan pada 24 November 1951 (Warta Negara, 26 November 1951 dan Utusan Melayu 25 November 1951). Walaupun terdapat dua tarikh yang bercanggah, namun ahli-ahli sejarah dan tokoh-tokoh lama dalam PAS bersetuju bahawa fakta kedua (24 November 1951) ialah tarikh sebenar PAS ditubuhkan.[perlu rujukan]

Parti Islam Se-Malaysia kemudiannya telah didaftarkan sebagai sebuah organisasi pada 31 Mei 1955 dengan nombor pendaftaran 733 (Pulau Pinang). PAS atau Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (nama asalnya) ialah pertubuhan atau parti politik Melayu yang berteraskan Islam yang ditubuhkan sebelum merdeka selepas Hizbul Muslimin diharamkan oleh kerajaan British pada tahun 1948.

PAS cuba mengimbangi perjuangan nasionalisme Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sebagai sebuah parti yang mendokong Islam. Dengan tidak menafikan bahawa semangat perjuangan yang berteraskan kepada Islam di negara ini telahpun wujud sejak 1906 lagi, yang telah dibawa dan diperjuangkan oleh golongan pembaharuan atau reformasi Islam yang mendapat pendidikan di Timur Tengah (antaranya termasuklah Syed Sheikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abbas Mohd Taha) yang berpusat di SingapuraMelaka dan Pulau Pinang, PAS yang muncul pada tahun 1951 adalah atas kesedaran masyarakat Melayu (pada waktu itu) untuk melihat Agama Islam dapat ditegak dan didaulatkan di negara ini.[8]

Pada peringkat awal penubuhannya, PAS dilihat sebagai sebuah parti Melayu yang memperjuangkan hal-ehwal Islam melebihi apa yang dilaksanakan oleh UMNO. Didokongi oleh para ilmuan agama, PAS ialah parti yang menjadi pilihan bagi orang-orang Melayu yang berpendidikan agama. Pun begitu, setelah berlakunya Tragedi 13 Mei 1969, PAS telah menerima cadangan UMNO untuk bergabung dalam perikatan yang baharu yang dinamakan sebagai Barisan Nasional (BN). PAS adalah antara parti pengasas BN. Penglibatan PAS dalam BN berakhir dengan krisis darurat di Kelantan pada 1978. Akhirnya PAS mengambil keputusan untuk keluar dari BN. Para penyokong PAS mengganggap bahawa UMNO telah mengkhianati mereka, sementara penyokong UMNO pula berpendapat PAS telah tidak patuh pada ketetapan BN. Peristiwa tersebut telah mengakibatkan PAS dilanda krisis dalaman yang telah membawa kepada perpecahan PAS kepada beberapa parti serpihan seperti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan HAMIM.

PAS telah mengambil masa yang lama untuk menyusun semula perjuangan mereka. Ketika Tuan Guru Yusuf Rawa mengambil alih jawatan Yang di-Pertuan Agung (kini dikenali sebagai Presiden) pada 1982, PAS telah menjenamakan semula parti tersebut di bawah slogan "Kepimpinan Ulama".[9]

PAS pernah menjadi sebahagian daripada sebuah perikatan yang dinamakan sebagai Pakatan Rakyat, bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Pencapaian PAS pada pilihan raya umum 2008 adalah antara yang terbaik. Selain mengekalkan penguasaan PAS di Kelantan dengan majoriti yang besar, PAS turut membentuk kerajaan di Kedah (2008-2013). PAS juga ialah sebahagian daripada kerajaan di Selangor (2008-kini) dan Perak (2008-2009) bersama PKR dan DAP.

PAS menjadikan kerjasama dengan sebuah parti politik baharu, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) untuk membawa suara rakyat lebih berkesan selepas Pakatan Rakyat dianggap telah terbubar[10] ekoran keluarnya DAP daripada gabungan tersebut. Walau bagaimanapun, hubungan kerjasama politik antara PKR kekal sehingga pada 11 Mei 2017, hubungan kerjasama PAS dan PKR terputus[11].

Bagi menghadapi Pilihan raya Umum Malaysia 2018, PAS menubuhkan sebuah gabungan kerjasama baharu, Gagasan Sejahtera bersama-sama IKATAN dan BERJASA. Selepas berakhirnya pilihan raya 2018, PAS bekerjasama dengan musuh tradisinya, UMNO di bawah semangat 'perpaduan ummah' dan menggagaskan permuafakatan bernama Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September 2019[12]. PAS juga turut menjalinkan kerjasama dengan Kongres India Malaysia (MIC)[13].

Ekoran konflik politik pada Februari 2020, PAS telah bersama-sama dengan beberapa parti politik yang lain iaitu UMNOParti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), MICPersatuan Cina Malaysia (MCA), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lain-lain telah membentuk kerajaan bagi Malaysia dengan nama tidak rasmi, Perikatan Nasional[14][15].

Sejarah

Asal-usul: pergerakan Islam selepas Perang Dunia II

Sungguhpun aktiviti Hizbul Muslimin terhenti, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya alim ulama terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan. Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan mudah ke arah penubuhan PAS pada tahun 1951.

Dalam hal ini, ramai ahli sejarah berpendapat penghargaan dan pengiktirafan perlulah dihulurkan kepada Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pemimpin MATA dan seterusnya Hizbul Muslimin yang telah "melebarkan jalan" untuk memudahkan penubuhan PAS.

Persidangan Persatuan Ulamak Malaya yang pertama

Peranan Hizbul Muslimin dalam penubuhan PAS lebih tertonjol lagi apabila sebahagian besar bekas pucuk pimpinan pusatnya turut menyertai PAS dan memainkan peranan secara aktif. Antaranya termasuklah Ustaz Othman Hamzah, Ustaz Baharuddin Abdul Latif, Tuan Haji Khaider Khatib dan Ustaz Yunus Haji Yatimi. Besar kemungkinan juga Bahagian Agama UMNO yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan turut diresapi dengan pengaruh Hizbul Muslimin ini. Tambahan lagi, ramai pemimpin agama dalam UMNO ketika itu kecewa akan pucuk pimpinan mereka yang bercadang untuk menaja perjudian (loteri). Tidak dapat dinafikan bahawa rancangan awal penubuhan PAS sebenarnya ditimbulkan oleh sebahagian besar ahli-ahli agama dalam UMNO semasa berlangsungnya Persidangan Ulama Ke-3 di Bangunan Kelab UMNO Bagan, Butterworth.

Ahli-ahli panel ini berusaha merangka perlembagaan serta menamakan pertubuhan yang dicita-citakan itu, iaitu Pertubuhan Ulama Se-Malaya. Panel ini telah berusaha mengadakan persidangan dengan persatuan-persatuan kebajikan Melayu atau Islam, Majlis Agama Islam Negeri, ulama perseorangan, para kadi dan juga mufti.

Walaupun perhimpunan ulama dan orang perseorangan yang dianjurkan oleh Bahagian Agama UMNO itu pada mulanya berjaya menubuhkan Pertubuhan Ulama, tetapi atas inisiatif Ustaz Othman Hamzah, bekas Ahli Jawatankuasa Hizbul Muslimin yang mewakili Persatuan al-Ehya as-Syariff, Gunung Semanggol telah berjaya melahirkan Persatuan Agama Islam Se-Malaya (PAS) bagi menggantikan Pertubuhan Ulama Se-Malaya yang dicadangkan pada mulanya.

Maka, PAS telah ditubuhkan secara rasmi hasil perhimpunan atau muktamar tersebut dengan penyertaan beberapa tokoh agama dan wakil pertubuhan Islam[16], antaranya Syeikh Abdullah Fahim. Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai; Syeikh Ismail Hamzah, Mufti Perak; Haji Ahmad Badawi Abdullah, Mudir Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Seberang Perai; Ustaz Baharuddin Abdul Latif, wakil Madrasah Ihya Asy-Syariff, Gunung Semanggol, Perak; Ustaz Othman Hamzah, wakil Persatuan Ihya Asy-Syariff, Gunung Semanggol, Perak; Ustaz Abdul Rahman Jamaluddin al-Jampuli, wakil Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Singapura; Tuan Guru Haji Yahya Junid dari Persatuan Ulamak Kedah, Tuan Guru Haji Mohd Noor Mahyuddin dan Faqeh Mohamad Nor Mohd Zain, wakil Perikatan Madrasah Kuala Lumpur; Ustaz Abu Bakar Asy'ari dan Ustaz Ahmad Long, wakil Perikatan Imam-imam Perlis; Haji Abdul Samad Nuh, wakil Madrasah Yahyawiyah Padang Rengas; Haji Hussein Che Dol, wakil Madrasah Akhlak As-Salam, Guar Chempedak; dan ulamak tempatan seperti Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein, Ustaz Zabidi Ali, Haji Mansor Hassan JP, Haji Sulaiman Palestin, dan Haji Ibrahim Aqibi.